Sunday, June 1, 2008

HIKMAH YANG MAHA ESA

Semasa saya bersama mak dan Mak Lang berbual, tetiba datang Abang Haji Che Nor, anak sulong Mak Lang saya, duduk sembang bersama. Sembang punya sembang saya bertanyakan soalan kepada dia mengenai pengalaman mengerjakan haji. Terbuka lah satu cerita yang tidak dapat beliau lupakan sampi mati. Peristiwa ini bermula dari Lapangan Terbang Bayan Lepas lagi sebelum beliau berlepas ke Tanah Suci. Ketika mengambil wuduk semasa di dalam tandas, tiba-tiba beliau ternampak seorang pak cik yang agak rendah separas dada beliau berdiri tegak dibelakang semasa bakal haji yang lain mengambil wuduk. Ketika itu semua bakal haji mengambil wuduk di sinki. Maknanya basuh kaki pun di dalam sinkilah. Mungkin ketinggian pak cik tu menghalang dia dari membasuh kakinya.

Dengan prihatin, sepupu saya ini menawarkan pertolongan dengan mengangkat pak cik itu hingga ke paras sinki supaya pak cik itu dapat membasuh kakinya. Sesudah selesai, pak cik itu berterima kasih kepada sepupu saya kerana telah menolongnya. Setelah menaiki kapal terbang, sepupu saya tercari-cari pak cik yang ditolongnya tadi, tetapi tidak dijumpai. Sampailah di Tanah Suci pak cik itu tidak dapat dikesan. Kalau ikut logic, mereka pasti akan bersua muka kerana dari Malaysia dan menaiki kapal terbang yang sama. Namun hampa. Sepupu saya berfikir ini mungkin ujian dari-Nya.

Semasa di sana pula, sekali lagi sepupu saya diuji. Semasa berjalan menuju ke Masjidil Haram untuk solat Asar, tiba-tiba beliau ternampak seorang tua sedang mencari-cari jalan. Tanpa membuang masa, sepupu saya sekali lagi menawarkan pertolongan. Beliau bertanya kepada orang tua tersebut. “pak cik nak ke mana?” orang tua itu menjawab “pak cik teringin sangat nak pergi masjid tu” lalu tanpa banyak bertanya sepupu saya membawa pakcik berkenaan ke Masjidil Haram lalu mengerjakan solat Asar bersama-sama. Selepas itu, sepupu saya bertanya lagi hala tuju pak cik itu, kemudian dia menjawab “pak cik teringin sangat nak minum air zam-zam” lalu sepupu saya membawa pak cik itu untuk minum air zam-zam. Sampai saja tempat air zam-zam, sepupu saya suruh membaca niat dan doa ketika sebelum minum. Sepupu saya terkejut bila pak cik tu menjawab tak tahu. Dia tak pandai menulis dan membaca. Yang dia tahu selawat sahaja. “bolehla” jawab sepupu saya. Selepas itu, pak cik tu berkata “pak cik teringin sangat nak tengok makam Rasulullah. Dalam fikiran sepupu saya “ah, sudah. Dah la jauh, susah pulak nak masuk ke kawasan makam tu. Lepas tu pula perut dah mula terasa lapar” tanpa memikirkan semua itu, demi memenuhi hajat pak cik tu, dia membawa pak cik tu ke makam Rasulullah. Setelah merempuh kesesakkan, dapat juga dia membawa pak cik itu melihat makam Rasulullah dan makam para empat sahabat terulung Rasulullah di sebelahnya.

Selepas itu, pak cik tu berkata “nak, pak cik nak balik” bila ditanya tempat tingggalnya, pak cik tu tak tahu. Sampaikan landmark tempat tinggal dia pun dia tak tahu. “Dah, pulak”. Kemudian sepupu saya mengambil keputusan untuk membawa pak cik itu ke tempat asal dia dijumpai. Sampai kat sana pak cik tu cakap tadi dia ada lalu depan kedai jam tangan RIFA. Dalam fikiran sepupu saya mula terasa pelik. Tadi pak cik tu cakap dia tak tahu menulis dan membaca. Sekarang lain pulak. Sepupu saya ni pun bawaklah pak cik tu ke kedai yang dia cakap. Lepas tu ternampak sebuah hotel di depan mata dan pak cik itu menyatakan bahawa di hotel itu lah dia tinggal. Tanpa membuang masa, sepupu saya menghantar pakcik tersebut balik ke hotel. Setelah hantar di muka pintu, sepupu saya pun beredar sesekali memandang kebelakang melambai-lambai kepada pak cik berkenaan. Setelah agak jauh, pak cik itu hilang dari pandangan mata. Sepupu saya terus saja balik untuk menjamah makanan yang telah disediakan di tempat penginapan beliau.

Pada keesokan harinya, beliau meneruskan ibadah haji. Semasa masuk ke Masjidil haram, beliau teringin sangat untuk mengerjakan solat betul-betul di sebelah mimbar yang Rasulullah membaca khutbah. Tanpa disedari, beliau dengan mudahnya dapat menyusup hingga ke sebelah mimbar berkenaan dan terus mengerjakan solat sunat. Setelah itu, beliau juga teringin pergi mengerjakan solat sunat di tempat keempat-empat sahabat terulung Rasulullah membaca khutbah. Sekali lagi, dengan mudah semua hajatnya tercapai. Banyak juagak benda yang ingin dilakukan oleh beliau mudh dilakukan tanpa sebarang masalah. Beliau terfikir seketika, mengapa semua yang diingininya mudah tercapai. Baru beliau terfikir, mungkin ini balasan beliau setelah menolong pak cik semalam. Beliau menolong pak cik berkenaan kerana beliau ingat pesanan seorang ustad dari Tabung Haji iaitu jangan sesekali mengatakan tidak jika ada orang yang meminta pertolongan ketika mengerjakan haji dan berada di Tanah Suci.

Itulah kekuasaan Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Apa yang baik, dibalas dengan yang baik. Mungkin sepupu saya telah menerima yang baik dari Allah berkat dari pertolongan yang beliau berikan kepada kedua-dua orang pak cik yang ditemuinya. Katanya banyak lagi yang beliau alami namun tidak semua dia cerita. Dia kata ada yang boleh dan tak boleh dicerita. Kalau nak tahu kenalah pergi ke sana sendiri. Tetapi jangan sesekali kita lupa, bahawa kita ke sana bukan untuk suka-suka, bukan untuk rasa-rasa, tetapi hanya satu sahaja niat kita iaitu Beribadah kerana Allah Taala dan yakin sepenuh hati kepada-Nya. Setelah tekun mendengar cerita beliau, saya menjadi semakin teringin untuk pergi ke sana. Insyaallah, jika dimurahkan rezeki, sampai seru, maka sampailah saya ke sana. Amin…….

Sekian……………….

No comments: