Sunday, June 1, 2008

KEINDAHAN KENDURI KAMPUNG

Salam kepada semua. Baru-baru ini saya pulang ke kampung atas jemputan perkahwinan sepupu saya. Majlis berlangsung di Kuala Sepetang, Matang, Perak atau dulunya dikenali sebagai Port Weld. Bagi sesiapa yang tahu, Port Weld adalah nama yang tercatat sebagai tempat pertama di Tanah Melayu yang menggunakan pengangkutan kereta api. Siapa yang belajar sejarah mesti ingat benda ni.

Kuala Sepetang juga adalah satu perkampungan nelayan dan juga yang paling penting adalah tempat kelahiran ibu saya Jamaliah Bt Omar di Balai Polis Kuala Sepetang. Arwah datuk saya adalah seorang pegawai polis Tanah Melayu. Sudah hamper 5 tahun saya tidak menjejakkan kaki di Kuala Sepetang, sejak saya melanjutkan pelajaran dalam Diploma Pengajian Sukan di UiTM Arau Perlis. Masa kecik-kecik dulu kerap juga saya ke sana. Banyak perubahan yang telah berlaku di sana sehinggakan saya hampir terlupa jalan untuk ke sana. Bukan apa, jalan dah berubah.

Sampai saja di sana, kami dua beranak disambut oleh sepupu-sepupu yang lain. Yang nak kahwin ni anak bongsu Mak Lang saya. Mak Lang saya ni mempunyai 11 orang anak. Tapi yang segannya tak semua nama saya ingat. Ada yang kenal muka saja. Jarang jumpa. Panggil abang jelah. Pada malamnya saya dan sepupu saya Anuar (pegawai polis sekarang di Dungun, Terengganu) keluar minum bersama-sama rakan kampungnya. Muka rakannya pun saya ingat-ingat lupa, tapi bila cerita balik kisah lama baru teringat.
aktiviti memasak telah bermula pada malam sebelum hari kenduri..... tengah masak rendang kerang nihh,......
antara tukang masak kampung yang datang pada awal pagi.......
penggunaan kayu sebagai bahan bakar masih digunakan dalam kenduri gotong-royong....
Pada keesokan pagi, kami sekeluarga bangun seawal 6.00 pagi. Setelah mempersiapkan diri, lebih kurang pukul 7.00 pagi, semakin ramai orang-orang kampung datang ke rumah. Rupa-rupanya kenduri ini di buat secara bergotong-royong. Tetiba saja saya jadi seronok. Sebab apa? Sebab dah lama tak rasa kenduri macam ni. La ni dok pergi kenduri semuanya pergi makan pastu balik. Makanan pun dihidangkan secara buffet. Kali ni dapat la saya rasa jadi penanggah atau pun lebih di kenali sebagai “MENTARA” di sebelah utara. Berbekalkan tuala putih “Good Morning” di leher, kerja gotong-royong bermula. Baiknya gotong-royong ni ialah ianya adalah sebagai satu cara yang paling effektif bagi menjalinkan ikatan silaturrahim antara sesama manusia. Walaupun ramai pak cik, makcik dan abang-abang kampung berkenaan bersenda gurau semasa melakukan kerja, namun objektif utama tidak pernah dilupakan iaitu tolong-menolong antara satu sama lain. Bahan api yang digunakan ialah kayu. Mereka masih lagi mengamalkan cara tradisional untuk memasak. Mereka kata masak pakai api kayu masakan jadi sedap.

Tepat pukul 10.45 pagi, imam, bilal dan siak kampung serta beberapa orang surau dan kawasan kampung itu bertandang. Majlis tahlil dan marhaban dimulakan. Ianya dibuat untuk memohon keberkatan dari Allah Taala kepada majlis perkahwinan tersebut. Lebih kurang pukul 11.30 pagi, para tetamu yang dijemput sampai untuk makan kenduri. Mulalah si mentara ni sibuk menghidangkan hidangan yang sudah siap dimasak. Cukup saja 5 mata atau 5 jenis lauk dan sayur satu talam, ianya dihidangkan kepada tetamu. Semakin lama semakin ramai yang datang. Tepat pukul 1.15 petang, rombongan pengantin lelaki sampi dan disambut oleh keluarga sebelah perempuan. Apa lagi, balun. Ketepak ketepuk kompang dipalu. Yang main kompang plak budak-budak kecik jer. Pandai betul depa ni…..

Jam di hanset telah menunjukkan pukul 2.00 petang. Saya dan ibu bersedia untuk berangkat pulang. Kena balik cepat sebab ada urusan di Shah Alam. Sebelum pulang saya sempat lagi bersalaman dengan sanak-saudara yang ada. Ada yang terkejut melihat ‘perkembangan’ saya hahaha… paham-paham jela….

Kepulangan saya ke kampung untuk menghadiri kenduri sepupu saya itu agak berbaloi kerana saya berpeluang merasai kemeriahan kenduri kampung secara bergotong-royong ni. Kali terakhir ialah masa saya tingkatan 5 dahulu. Sepelas itu, makan buffet je lah….

Ada lagi satu cerita menarik yang saya dapat daripada anak sulong Mak Lang saya iaitu Abang Haji Che Nor ketika dia mengerjakan haji di Tanah Suci Mekah. Untung dia, muda-muda dah jadi Haji. Umur tak sampai 40 tahun. Cerita apa? Nantikan dalam post seterusnya…… tungguuuuu……………
"berat sama dipikul, ringan sama dijinjing"......
para 'mentara' makan dulu sebelum sibuk melayan tetamu yang bakal hadir.....

majlis tahlil dan marhaban dijalankan bagi memberkati majlis......


tetamu jemputan sudah mula bertandang ke rumah pengantin.......

No comments: